KERJAYA MENITI JAYA
Kerjaya merupakan perkembangan dan kemajuan seseorang dari segi pekerjaan dalam mencari nafkah untuk menyara kehidupan. Pada zaman modernisasi ini, skop pekerjaan semakin meluas dan menjadi lebih mencabar kerana terdapat banyak saingan yang pakar dalam pelbagai bidang. Kita boleh memilih sama ada ingin bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Dengan generasi muda yang kini lebih pakar dalam bidang teknologi, tidak mustahil pekerjaan baharu dapat diwujudkan dan dimajukan. Persoalannya, apakah persediaan yang perlu disiap siagakan oleh generasi kini bagi mencapai kerjaya impian mereka?
Dalam zaman yang penuh dengan mahasiswa, saingan untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpikan amatlah sengit. Seseorang pekerja wajarlah mempunyai keputusan yang sangat cemerlang bagi membuktikan bahawa dia mampu untuk menjalankan tugas dengan baik. Para pelajar wajarlah memenuhi diri dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang yang ingin mereka ceburi. Hal ini demikian kerana ilmu pengetahuan yang banyak boleh mematangkan fikiran seseorang itu dengan cara membaca bahan-bahan ilmiah. Amalan membaca mampu meningkatkan pemikiran kritis seorang pekerja dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana membaca itu jambatan ilmu.
Selain itu, seorang pekerja wajarlah mempunyai kemahiran sosial yang hebat bagi memastikan dirinya lebih menonjol daripada pekerja yang lain. Hal ini demikian kerana majikan sebenarnya lebih mementingkan pekerja yang berkebolehan dalam melaksanakan tugas dengan baik berbanding dengan mengupah pekerja yang memiliki sijil-sijil yang banyak, tetapi tidak mempunyai kemahiran. Kemahiran yang sering dinilai oleh majikan ialah kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Kemahiran-kemahiran ini boleh didapati dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum sejak dari bangku sekolah lagi.
Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, kita perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana kita merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar untuk berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka jauh lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi berbanding remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, kita perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Kita juga mesti membekalkan diri dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat. Kita perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.
Persediaan yang seterusnya ialah kita perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani untuk melakukan perkara yang luar biasa mampu untuk meniti arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga penting untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran yang kreatif dan inovatif dapat menangani cabaran-cabaran yang bakal kita tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Kita juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu kita ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang diidamkan.
Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar kita lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan kita nanti. Oleh itu, kita perlulah menitikberatkan kemajuan diri dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, kita pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Comments
Post a Comment